Rabu, 16 November 2011

Tokoh Islam Al-Ghazali


PENDAHULUAN
عن معاويه بن ابي سفيان رضي الله عنهما, قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من يرد الله به خيرا يفقه في الدين
Daripada Mu’awiyah bin Abu Sufyan r.a., nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang Allah mahukan kebaikan padanya nescaya Allah memberikan kefahaman agama kepadanya."
( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )
           Imam Al-Ghazali adalah antara ulama terulung yang banyak menghasilkan karya-karya yang bermutu dan sangat tinggi nilainya baik semasa zamannya hinggalah pada ketika ini. Walaupun ada beberapa ulama yang memberi kritikan serta tentangan terhadapnya mahupun karya-karya yang dihasilkannya namun ramai di antara mereka akhirnya bersetuju dengan Imam Al-Ghazali serta memuji karya-karya tersebut.
           Dalam kertas kerja ini penulis cuba memberikan huraian serba sedikit mengenai dengan hal ehwal Imam Al-Ghazali yang merupakan seorang ulama pembaharu dalam beberapa aspek disamping beberapa tentangan dan kritikan yang dibuat oleh beberapa ahli serta kesan hasil daripada pembaharuan beliau kepada umat manusia.
           Semoga dengan huraian yang serba kekurangan ini sedikit sebanyak dapat memberikan hasil dan menambahkan ilmu serta pengetahuan mengenai dengan ulama termasyur ini,  sebagai penguat pegangan dalam melaksanakan peribadatan kepada Allah Ta’ala  dengan cara yang lebih terpuji dan lebih baik lagi.
1.BIOGRAFI  IMAM AL-GHAZALI
         1.1. Riwayat Hidupnya
                       Imam Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 Hijrah bersamaan dengan  1058 Masihi di Tusia Bandar Khurasan (Iran). Nama sebenarnya ialah Muhammad  bin Muhammad bin  Muhammad Abu Hamid Al-Ghazali. Beliau digelar "Al-Ghazali" bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing (al-Ghazzal). Ada yang mengatakan namanya diambil sempena kampung kelahirannya, Ghazalah.Beliau berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya merupakan seorang ahli Sufi yang sangat warak. Bapanya mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu ingin melihat anaknya menjadi orang alim dan soleh. Imam Al-Ghazali adalah seorang ulama, ahli fikir dan ahli falsafah Islam yang terkemuka hingga kini.Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadilakhir  tahun 505 Hijrah (1111M) di Tus dan jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya iaitu di Khurasan, Iran.(Abu Salam Yussof, 2008: 4)
1.2. Peribadinya
                Imam Al-Ghazali mempunyai daya hafalan dan ingatan yang kuat dan bijak berhujah.Beliau menguasai berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan.Imam Al-Ghazali sangat mencintai ilmu pengetahuan.Beliau juga sanggup meninggalkan segala kemewahan hidup untuk  bermusafir demi untuk mencari dan menuntut ilmu pengetahuan.Beliau terkenal sebagai ahli falsafah Islam yang telah mengharumkan  nama ulama Islam di Eropah melalui hasil-hasil karyanya yang bermutu tinggi. (http://dakir.wordpress.com/2009/05/26/biografi-al-Ghazali/)
1.3. Pendidikan
        Pada peringkat awalnya beliau  mendapat pendidikan secara percuma kerana keluarganya miskin.Setelah berhijrah ke Nisapur, Imam Al-Ghazali berguru dengan Imam Al-Haramain sehingga beliau mampu meguasai bidang ilmu : fiqh mazhab Imam Shafi’e, tauhid, mantiq dan falsafah. Beliau juga mempelajari, menyelidik dan mengkaji segala pendapat empat mazhab hingga mahir  dalam bidang-bidang tersebut. Selepas itu beliau menyambung pelajarannya dengan seorang guru yang  bernama Ahmad Al-Razkani, kemudian berguru pula dengan Abu Nasr Al-Ismail di Jorjan. Oleh sebab Al-Imam Al-Ghazali memiliki ketinggian ilmu beliau telah dilantik menjadi mahaguru di Madrasah Nizamiah di Baghdad. Beliau hanya berkhidmat selama empat tahun sahaja kerana minatnya mahu berkelana menunaikan fardu haji serta mahu menumpukan perhatian untuk beribadah.
Beliau juga telah mengembara ke beberapa tempat seperti Makkah, Madinah, Mesir dan Jerusalem untuk mendalami ilmu falsafah yang  dipelajarinya.Sewaktu dalam pengembaraan, beliau telah menulis kitab "Ihya Ulumiddin" yang member sumbangan yang besar kepada masyarakat dan pemikiran Islam dalam semua masalah yang mana masih menjadi rujukan  pada masa kini. (http://dakir.wordpress.com/2009/05/26/biografi-al-Ghazali/) 
1.4. Sumbangan
                Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat,seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya kerana Allah S.W.T.Imam Al-Ghazali adalah seorang merupakan ahli fikir Islam yang telah   meninggalkan jasa yang dapat di nilai melalui hasil-hasil karyanya.Beberapa hasil karya Imam Al-Ghazali telah diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa Eropah untuk dijadikan rujukan kepada penuntut-penuntut di pusat-pusat pengajian tinggi.Hasil karya beliau yang terkenal ialah Ihya  Ulumiddin  yang merangkumi ilmu akidah, fiqh, falsafah, akhlak dan tasawuf.
Segala hasil-hasil tulisan beliau telah mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya, seperti Jalaluddinar-Rumi, Syeikh Al-Ashraf, Ibnu Rusyd dan  Syah Waliyullah. Kebanyakkan hasil-hasil karya Imam Al-Ghazali  berbentuk falsafah. Oleh  hal yang demikian pengkaji-pengkaji Barat menganggap, Imam Al-Ghazali  adalah seorang ahli falsafah. Antara hasil-hasil karya beliau yang lain  termasuklah: Al-Munqiz Min ad-Dalal, Mizanul-amal, Tahafut al-Falasifah, Hidayah Al-Salikin, Jawahir Al-Quran, Minhaj al-Abidin, Asma Allah al-Husna, Ayyuha al-Walad , Kimia as-Sa’adah. (http://dakir.wordpress.com/2009/05/26/biografi-al-Ghazali/)
2. IMAM PEMBAHARU
Peranan Imam Al-Ghazali dalam pembaharuan atau perbaikan amatlah luas serta tidak terbatas pada satu aspek sahaja, malah ianya boleh dikatakan secara menyeluruh. Ianya boleh dibahagikan mengikut fasal-fasal yang tertentu, iatu:-
1.      Pembaharuan di Bidang Pemikiran.
2.      Ulama Sarana Pembaharuan.
3.      Pembaharuan Fiqh.
4.      Fiqh Aulawiyyat.
5.      Perbaikan Sosial.


2.1. Pembaharuan di Bidang Pemikiran.
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٧٩﴾
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”(Al-A’raf 7:179)
Masalah yang mungkin tidak disedari secara langsung oleh sesetengah manusia ialah terlalu memberikan peranan yang tinggi kepada akal dalam menghakimkan sesuatu hukum secara logika dalam hal-hal syari’at terutamanya pada perkara-perkara sam’iyat. Kita sebenarnya perlu lebih mengetahui bahawa ada sesuatu pada hal-hal tertentu akal tidak terjangkau untuk memikirkannya.
Ada diantara golongan falsafah ilmu yang terlalu mementingkan logika sehingga boleh menyebabkan timbul persoalan yang berkaitan dengan ketuhanan khususnya mengenai perkara yang tidak dapat dihuraikan oleh akal fikiran. Menurut pendapat Al-Ghazali  tidak salah berpegang kepada logik tetapi yang menjadi masalahnya ialah golongan falsafah yang terlalu berpegang kepada hukum logik, bukti serta fakta, termasuklah perkara yang berhubung dengan ketuhanan dan metafizik.
Sebab itulah beliau menentang golongan ahli falsafah Islam yang cuba mengungkap kejadian alam dan persoalan ketuhanan menggunakan pemikiran daripada ahli falsafah Yunani. Beberapa orang ahli falsafah Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi jelas terpengaruh akan idea pemikiran falsafah Aristotle. Maka tidak hairanlah ada antara pandangan ahli falsafah itu bertentangan dengan ajaran Islam yang boleh menyebabkan kesesatan dan syirik.
Terdapat tiga pemikiran falsafah metafizik yang menurut Al-Ghazali amat bertentangan dengan Islam iaitu qadimnya alam ini, tidak mengetahui Tuhan terhadap perkara dan peristiwa yang kecil, dan pengingkaran terhadap kebangkitan jasad atau jasmani.
Al-Ghazali tidak menolak penggunaan akal dalam pembicaraan falsafah dan penghasilan ilmu pengetahuan yang lain. Sebaliknya beliau berpendapatan bahawa ilmu kalam dan penyelidikan menggunakan fikiran boleh menambahkan keyakinan dan menyalakan api keimanan pada hati orang bukan Islam terhadap kebenaran ajaran Islam. Jadi, perkembangan sesuatu ilmu pengetahuan bukan sahaja bersandarkan kepuasan akal fikiran tetapi juga perlu mengambil kira aspek perasaan dan hati nurani.
Al-Ghazali menganjurkan supaya umat Islam mencari kebenaran dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber yang utama bukannya melalui proses pemikiran dan akal semata-mata. Jadi, apa yang cuba dilakukan oleh Al-Ghazali ialah memaparkan kesalahan dan kepalsuan bidang pengetahuan yang bercanggah dengan agama serta bertentangan dengan pendirian umat Islam. Sekali gus menunjukkan bahawa Al-Ghazali sebenarnya merupakan seorang ahli falssafah Islam yang mencari kebenaran dengan berpandukan al-Quran dan hadis tidak sebagaimana pemikiran serta permainan logik yang lazim digunakan ahli falsafah Yunani. Perkara yang ditentang oleh Al-Ghazali bukanlah ahli falsafah dan pemikiran yang dibawakan oleh mereka tetapi kesalahan, kesilapan, dan kesesatan yang dilakukan oleh golongan tersebut yang cuba diperbaikan oleh beliau kerana bagi Imam Al-Ghazali, tunjang kepada pemikiran falsafah ialah al-Quran itu sendiri.
Menurut Imam Al Ghazali lagi, seorang pemikir besar Islam, dengan mengacu pada pengertian kerja atau fungsi akal menyatakan bahwa akal itu tidak bertempat, baik di dalam maupun di luar badan manusia, bersifat immaterial, dan tidak terbagi-bagi. Akal berhubungan dengan badan dalam bentuk :
1.      muqbil ala al-badan (menghadap badan)
2.      mufid lahu (memberi keuntungan)
3.      mufidh alaih (mengalir kepadanya).
Tiga bentuk ini menitik beratkan pada fungsi, proses atau kegiatan.
            Oleh kerana itulah setiap daripada kita dikehendaki memikirkan setiap sesuatu menggunakan segala ilmu pengetahuan bersandarkan kebijaksanaan dan kesucian hati berlandaskan dalil daripada al-Quran dan al-Hadith agar tidak mudah terpesong kepada jalan yang batil.

 2.2. Ulama Sarana Pembaharuan
مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يُنْقَصَ مِنْ أُجُوِْرِهمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يُنْقَصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.
Daripada Jarir bin Abdullah al-Bajali.r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Siapa yang mengadakan ikutan yang baik dalam Islam, ia mendapat ganjaran amalan itu dan ganjaran orang yang mengamalkan selepasnya, tanpa kekurangan sedikit pun. Dan siapa yang mengadakan ikutan yang buruk dalam Islam, ia mendapat dosa daripada amalan itu dan dosa orang yang mengamalkan selepasnya, tanpa kekurangan sedikit pun."( Riwayat Muslim)

            Ulama pada pandangan imam Al-Ghazali adalah sarana (alat) pembaharuan pertama dalam masyarakat dan mereka juga adalah sebagai pewaris para nabi, oleh itulah sebabnya amalan mereka lebih mulia kerana mereka ini mengamalkan ilmu, mendidik jiwa dari akhlak-akhlak yang tercela yang membinasakan dan memberi petunjuk kepada jalan akhlak-akhlak yang terpuji lagi membahagiakan.
            Kerana pandangan yang mulia ini sewajarnyalah para ulama menyampaikan sesuatu yang berupa manfaat ilmu untuk membangun serta membina akhlak manusia agar tidak terpesong daripada akidah yang betul, bukan jua untuk kepentingan sendiri semata-mata, oleh sebab itulah imam Al-Ghazali sangat menekankan agar para ulama menanamkan sifat ikhlas yang setentunya lahir dari jiwa yang tulus kerana tanpa keikhlasan, kejayaan tidak mungkin akan dikecapi.
            Ulama juga bagi pendapat beliau adalah sebagai pemandu ataupun wasilah pertama untuk umat, selama mana tidak didapati ada kebaikan pada diri ulama baik dari segi zahir mahupun batin maka ianya tidak boleh memperbaiki orang lain.
            2.3. Pembaharuan Fiqh
            Imam Al-Ghazali adalah merupakan seorang ahli fiqh sebelum menjadi ahli sufi. Beliau menulis sebilangan kitab fiqh, yang mana ada diantaranya secara ringkas, sederhana dan panjang lebar. Tetapi pada ketika itu  beliau menuliskan dengan uslub (kaedah) tradisional. Setelah itu barulah beliau mula menuliskannya kembali dengan uslub yang baru serta bahasa yang menarik. Antara karya beliau yang sangat dikenali ialah Ihya Ulumuddin. Di dalam kitab tersebut para pembaca dapat merasakan bahawa setiap perincian penerangannya amat menyeluruh berkait dengan jasmani dan rohani serta akal dan fikiran.
Contohnya dalam soal ibadat, beliau menerangkan bahawa solat itu bukan hanya semata-mata ruku’, sujud dan perbuatan-perbuatan yang lain dalam sembahyang, akan tetapi ia juga termasuk perlakuan secara khusyuk tunduk memperhambakan diri kepada Allah. Begitu juga dalam hal bermuamalat, ianya bukanlah semata-mata untuk mengaut keuntungan sahaja malah mencakupi dalam hal memenuhi keperluan-keperluan manusia serta terselit nasihat di dalamnya.   
Dapat diperhatikan bahawa Imam Al-Ghazali memandang akan fiqh dan tasawuf itu berjalan seiringan pada peringkat awalnya, setelah itu fiqh terhenti dan diteruskan pula oleh tasawuf. Bagaimanapun keadaannya, metod penulisan fiqh Imam Al-Ghazali menunjukkan bahawa ianya adalah secara menyeluruh sebagai langkah kepada pembaharuan yang jarang sekali didapati seumpamanya.
2.4.  Fiqh Aulawiyat
Fiqh ‘Al-Aula’ (yang lebih utama) adalah aspek pembaharuan yang diserukan oleh Imam Al-Ghazali. Maksudnya disini ialah setiap muslim hendaklah mengetahui perkara yang mana lebih utama didahulukan pada perkara yang diperintahkan melakukannya dan meninggalkannya.
Contohnya pada perkara menyampaikan ilmu, terlebih dahulu para pengajar hendaklah  mengutamakan dalam memperbaiki diri sendiri sebelum memberikan pengajarannya kepada orang lain, dalam erti kata lain janganlah hendaknya memperbaiki akan hal orang lain sebelum terlebih dahulu memperbaiki diri sendiri.
Pada perkara yang lain pula contohnya sembahyang, iaitu seperti sesorang yang mengutamakan sembahyang sunnat Tarawih secara berjamaah, tetapi meninggalkan sembahyang fardhu Isyak secara berjamaah ataupun mengutama sembahyang sepertiga malam tetapi meninggalkan sembahyang fardhu subuh akibat mengantuk.
2.5. Perbaikan Sosial
.....فَاتَّقُواْ اللّهَ وَأَصْلِحُواْ ذَاتَ بِيْنِكُمْ وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١﴾
“….sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu, dan ta`atlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu adalah orang-orang yang beriman". (Al-Anfaal 8:1)
Dalam aspek ini, Imam Al-Ghazali sangat mengambil perhatian terhadap kemashlahatan sesama kaum muslimin, dari hal pergaulan, pengurusan, pekerjaan dan sebagainya. Dalam  bidang pekerjaan contohnya yang mana dimonopoli oleh golongan yang bukan muslim, beliau sangat berdukacita mengenai hal ini kerana ada sebilangan kaum muslim tidak berminat malah membenci sesuatu pekerjaan tersebut sedangkan keahliannya adalah pada bidang berkenaan dan kemashlahatannya terhadap kemajuan negara sangat-sangat diperlukan.
Masaalah antara sesama masyarakat juga tidak kurang pentingnya, dari hal pergaulan, perhubungan dan yang seumpamanya perlu kepada sikap kesedaran diri sendiri, jangan sampai berlaku kemungkaran-kemungkaran yang boleh menjejaskan ketenteraman sesebuah negara mahupun tempat, dalam erti kata lain sikap mementingkan diri sendiri dan tidak hiraukan orang lain perlu dihakis.
Contohnya dari segi hal kehidupan seharian yang melibatkan penggunaan orang ramai,  seperti kemungkaran yang berlaku dijalan raya dimana kurangnya sifat hormat menghormati antara sesama pengguna ataupun di masjid  yang mana kurang menghiraukan adab kebersihan dan sebagainya.
Daripada contoh ini sudah dapat kita menggambarkan bahawa personaliti, pendirian dan pemikiran Imam Al-Ghazali adalah seorang yang cintakn keindahan dalam kehidupan umum.
3.TENTANGAN DAN KRITIKAN TERHADAPNYA
Ibnu Taymiyah berpendapat bahawa Ihya Ulumuddin karangan Al-Ghazali secara amnya adalah sebuah kitab yang ditulis dengan baik dan menggunakan gaya yang menarik  tetapi pada masa yang sama beliau memberikan kritikan kerana empat sebab:
1.      pemikiran Al-Ghazali jelas menunjukkan peninggalan falsafah Yunani. Dalam menjelaskan ketauhidan Allah, kenabian dan hari akhirat, beliau memperkenalkan banyak konsep yang dipegang oleh ahli-ahli falsafah pada masa itu. Dalam Muwafakat, beliau menyatakan Abu Bakar bin Al-Arabi iaitu sahabat dan pelajar Al-Ghazali telah mendalami ilmu falsafah dan mahu menolak pemikiran itu tetapi sukar. Oleh sebab itu, Ibnu Taymiyah menentang falsafah kerana beliau mendapati sesetengah penulisan Al-Ghazali tidak dapat diterima daripada sudut keagamaan.
2.      Dalam penulisan Ihya Ulumuddin Al-Ghazali menggunakan analisis logik yang dibuat berdasarkan pemikiran umum dan khusus dengan tujuan mendapatkan kesimpulan. Ini tidak bertepatan dengan semangat al-Quran dan Sunnah.
3.       Kitab Ihya Ulumuddin mempunyai banyak konsep dan ajaran serta pertanyaan-pertanyaan mengenai pendapat kasyaf ke dalam kebenaran ilahi.
4.      Kitab Ihya Ulumuddin mengandungi banyak hadis yang diragui kesahihannya.
Para ulama lain pula mempunyai pandangan berbeza mengenai Ihya. Ibnu al-Jawzi mengkritik Al-Ghazali kerana menggunakan hadis-hadis yang tidak sahih dan lemah. Beliau berpendapat hal ini terjadi kerana Al-Ghazali bukan seorang ahli hadis. Tajuddin Subki dalam Tabaqat Syaf iyah telah mengutip semua hadis yang disebut oleh Al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin yang tidak boleh didapati dari mana-mana sumber. Disusuli Hafiz Zainuddin Al-Iraqi telah menegaskan bahawa hadis-hadis dalam Ihya Ulumuddin menurut norma yang diterima dan diperiksa sama ada sahih atau tidak sahih bagi tiap-tiap hadis.
Ibnu Jawzi juga telah menunjukkan kesilapan-kesilapan mengenai beberapa peristiwa sejarah yang disebut oleh al-Ghazali dalam Ihya. Ibnu Jawzi mengatakan bahawa al-Ghazali telah menyebut beberapa contoh ahli sufi atau cara-cara mereka untuk muraqabah dan pembersihan jiwa (tazkiyah al-nafs) yang tidak dibolehkan dalam syariat, apatah lagi untuk diikuti oleh orang awam. Walau bagaimanapun Ibn Jawzi mengakui keberkesanan Ihya dan sumbangannya amat berharga kepada pemikiran Islam selepas itu. Beliau juga telah meringkaskan Ihya Ulumuddin di dalam kitab Minhaaj al-Qasidin dan meninggal bahagian-bahagian yang boleh diperbahaskan.

Di kalangan ahli-ahli falsafah, pengkritik Al-Ghazali yang termasyhur ialah Ibnu Rusyd. Beliau telah menolak perbahasan-perbahasan al-Ghazali terhadap ahli-ahli falsafah. Contoh kritikan dalam penulisannya ialah Tahafut al-Tahafut bagi menjawab tulisan Al-Ghazali dalam kitab Tahafut al-Falasifah. Ibnu Rusyd mempertahankan ahli-ahli falsafah dengan hujah yang keras sebagaimana serangan Al-Ghazali terhadap mereka. Ibnu Rusydi berhujah dengan penuh kefahaman dan kehandalan tetapi dalam analisis terakhir ternyata hujah-hujah al-Ghazali lebih berkesan daripada penentangnya. Sanggahan Ibnu Rusydi menyatakan bahawa al-Ghazali menentang ahli falsafah semata-mata untuk mendapat penghargaan daripada golongan tradisional tidak dapat dibuktikan.
Beliau juga menuduh Al-Ghazali tidak tetap dalam pemikirannya. Contohnya, beliau menyebut bahawa dalam kitab Misykatul Al-Anwar, Al-Ghazali memberi sokongan kepada beberapa teori  yang sudah dikritik dalam Tahafut. Menurut beliau lagi, ajaran-ajaran Al-Ghazali mendatangkan bahaya kepada agama dan falsafah. Ibnu Rusyd menyatakan mengenai pemikiran Al-Ghazali: “Satu hari kamu berbangsa Yaman apabila bertemu dengan orang Yaman. Tetapi apabila kamu bertemu seseorang dari Ma’ad , kamu mendakwa kamu dari Adnan!”
Tuduhan tidak konsisten terhadap Al-Ghazali juga dibuat oleh ahli falsafah Islam lain seperti Ibnū Tufail menyebut dalam karyanya bahawa Al-Ghazali: “terikat di satu tempat tetapi bebas di tempat lain. Ia menafikan beberapa perkara tetapi kemudian mengisytiharkannya benar.” Sungguhpun beliau menunjukkan beberapa kontradiksi dalam karya Al-Ghazali tetapi keseluruhannya Ibnu Tufail mengagumi ajaran Al-Ghazali yang dapat dikesan dalam karya falsafahnya yang dikagumi iaitu Hayy Ibnu Yaqz.
Seorang pengkritik Al-Ghazali zaman mutakhir ini iaitu Dr. M. Zaki Mubarak dalam kajian P.H.D. beliau bertajuk al-Akhlaq Enda Al-Ghazali menyatakan bahawa ajaran-ajaran Al-Ghazali bersifat kesufian dan menyendiri sehingga ia boleh melemahkan semangat manusia dalam melakukan tugas di atas muka bumi ini. Dr. M. Zaki Mubarak berpendapat bahawa Al-Ghazali hanya mementingkan perkaitan rohani perseorangan dengan tujuan untuk mencapai kebahagiaan pada akhirat sahaja dengan melupakan soal-soal hidup duniawi.
Berkaitan kritikan Dr. Zaki Mubarak terhadap Al-Ghazali Prof. Dr. H. Abu Bakar Acheh berpendapat: “Adalah satu kesalahan yang dibuat oleh pengarang-pengarang Islam generasi baru seperti Dr. Zaki Mubarak, yang membandingkan ajaran Al-Ghazali dengan ajaran kemasyarakatan baru. Mungkin orang akan memperoleh hasil yang sama antara ajaran-ajaran Al-Ghazali dan ajaran ahli-ahli pendidikan masyarakat dan ilmu jiwa dunia sekarang ini. Tetapi jalan yang ditempuh oleh Al-Ghazali sebagai seorang sufi, yang zahid tidak ada tolok bandingnya. Bukan sahaja perbezaan zaman tersebut terlalu besar, tetapi juga memang berlainan cara penempuhan penghidupan ketika itu.
Ternyata bahawa pelbagai kritik terhadap Al-Ghazali dengan sendirinya membuktikan betapa luasnya pengaruh beliau. Jumlah pengikut Al-Ghazali dan orang yang menghormati serta menerima ajaran dan menyebarkannya mengatasi bilangan para pengkritik beliau. Beberapa tokoh amat cenderung dan menghormati Al-Ghazali seperti Syah Waliyullah al-Dahlawi,  Uthman Fodio, Hasan al-Banna dan Syed Muhamad Naquib al-Attas. Kebanyakan tokoh-tokoh ini terdiri daripada pemikir dan ahli Sufi. Dalam karya Ihya Ulumuddin Al-Ghazali berusaha untuk menimbulkan kedua-dua aspek kegamaan ini. Karya ini merupakan karya yang meluas dibaca oleh pelbagai golongan umat Islam.

4.KESAN KE ATAS UMAT
            Pengaruh pemikiran Al-Ghazali dalam dunia Islam amat mendalam dan luas sekali. Hasil karyanya dibaca dan dikaji di Timur dan di Barat serta daripada kalangan bangsa Arab atau bukan Arab. Bahkan pengkaji-pengkaji bukan Islam turut meneliti hasil karyanya dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.
Banyak karya Al-Ghazali diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu seperti Minhaj alAbidin, al-Munqid min al-Dhalal, Bidayah al-Hidayah, Ayuhal Walad, Tahafut al-Falasifah dan lain-lain.
Antara pujian oleh para peminat atau pencinta jasa al-Ghazali seperti kenyataan al-Yafi’e: “Kalau wujud nabi selepas Nabi Muhamad pasti orang itu ialah al-Ghazali.” Imam Nawawi pula pernah berkata: “Hampir-hampir Kitab Ihya mengambil tempat al-Quran.” Kata al-Subky: “Tidak tahu ada orang selepas Al-Ghazali yang sama sepertinya terutama dari segi kadar memiliki ilmu. Pasti tidak ada orang yang akan datang sepertinya.”
Al-Ghazali telah berjaya membetulkan kesilapan ahli-ahli falsafah dan ahli kalam. Beliau menjelaskan kepada orang Islam bahawa kepercayaan terhadap agama mereka bukanlah bergantung kepada hipotesis-hipotesis yang tidak rasional tetapi mesti bersandarkan kepada dasar-dasar yang teguh dan nyata.
Beliau telah memberikan pentafsiran yang rasional tentang kepercayaan asas Islam, sehingga kesahihannya atas dasar rasionalisma tidak dapat dipersoalkan lagi sepanjang zaman. Di samping itu beliau menerangkan hikmat setiap suruhan syariat serta memberikan kepada umat konsepsi yang jelas mengenai Islam, sehingga segala keraguan mereka dapat dihilangkan. Al-Ghazali telah meneliti semua kumpulan agama pada zaman itu serta perbezaan antara mereka. Beliau menjelaskan had-had antara Islam dan kufur dan had-had kebebasan pentafsiran. Usaha-usaha ini telah membantu mereka untuk mengurangkan pertelingkahan antara kumpulan yang bertentangan dan meluaskan pandangan rakyat awam.
Al-Ghazali menghidupkan semula fahaman Islam dan meninggalkan taklid membuta tuli, menentang kekeliruan serta menarik perhatian masyarakat kepada punca petunjuk yang betul iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w. Beliau telah menghidupkan semangat ijtihad dan mengkritik semua kumpulan kerana kelemahan dan unsur-unsur kufur mereka. Beliau mengkritik sistem pendidikan yang sedang merosot dan mencadangkan sebuah system yang baru untuk menukarkannya. Kurikulum yang wujud pada masa itu mempunyai kelemahan. Antaranya, ia memisahkan sains keduniaan daripada sains Islam, akhirnya menyebabkan pemisahan urusan dunia daripada amalan agama.
Beberapa perkara yang tiada tempat dalam syariat dimasukkan ke dalam kurikulum, seolah-olah ia adalah sebahagian daripada syariat. Al-Ghazali menjelaskan kelemahan-kelemahan tersebut dan menyediakan satu sistem yang menyeluruh meskipun ditentang oleh mereka yang sezaman dengannya, tetapi akhirnya diterima oleh semua negara Islam. Kebanyakan sistem yang dilaksanakan pelbagai negara Islam sebenarnya adalah menurut garis panduan yang ditunjukkan oleh Al-Ghazali, sehinggakan kurikulum yang wujud di institusi-institusi negara Arab masa kini terhutang budi kepada al-Ghazali.
Beliau telah membuat penilaian kritikal terhadap keadaan moral dan agama masyarakat Islam waktu itu dan mencadangkan langkah-langkah untuk membuat pembaharuan. Ini telah membangkitkan semangat keislaman semula dalam masyarakat. Karyanya yang utama, Ihya Ulumuddin telah mengkritik keadaan moral kesemua masyarakat dan menjelaskan setiap hal itu berkaitan sebab-sebab sosial seterusnya memberikan kriteria moral Islam yang sebenarnya.
Al-Ghazali telah mengkritik secara bebas kerajaan yang wujud dan mempengaruhi masyarakat agar tidak tunduk kepada penindasan tetapi berani untuk menahan dan mengkritik penindasan. Usaha–usaha untuk mengislahkan dan menghidupkan semula Islam tidak terhad kepada pembaharuan masyarakat Islam semata-mata. Syibli Nu’man telah menjelaskan usaha-usaha Al-Ghazali untuk mendirikan sebuah negara Islam yang sebenarnya di Sepanyol. Beliau berpandangan bahawa sekiranya sebuah negara yang baru ditubuhkan tidak menurut prinsip-prinsip Islam, masyarakat Islam tidak akan dapat diislahkan.
Walau bagaimanapun beliau tidak dapat memberi masa untuk tugas yang besar dan mulia tersebut kerana sibuk dengan meditasi dan muraqabah, tazkiyah al-nafs dan pembaikan akhlak, namun selepas Ihya Ulumuddin dibawa ke Sepanyol pada tahun 501H/1081M raja pada masa itu Ali Bin Yusuf Tashfin telah memerintah agar ianya dibakar. Al-Ghazali sedih apabila mengetahui mengenai peristiwa itu. Sejurus selepas itu, seorang pemuda bernama Muhamad bin Abdullah bin Tumart telah tiba dari Sepanyol untuk belajar di bawah bimbingan Al-Ghazali. Semasa belajar di bawah al-Ghazali, dia telah menetapkan pendiriannya untuk menggulingkan Ali bin Yusuf untuk mendirikan sebuah negara Islam di Sepanyol.
 Meskipun al-Ghazali bersetuju dengannya, beliau tetap bertanya kepada Muhamad mengenai cara-cara serta pertolongan yang diharapkan untuk membantu beliau dalam tugas tersebut. Muhamad berjumpa dengan Al-Ghazali dan meminta nasihatnya mengenai hal itu. Beliau mengizinkan cadangannya memandangkan Islam telah menjadi lemah di seluruh dunia sedangkan tiada seorang raja yang dapat menyatukan seluruh ummah untuk menegakkan risalah Islam.Walaubagaimanapun Al-Ghazali telah bertanya kepada Muhamad mengenai cara-cara beliau mengatur pemberontakan itu dan akhirnya membawa kepada kemenangan yang besar.
Negara yang didirikan oleh Muhamad bin Abdullah bin Tumart dikenali sebagai Al-Muwahidin, kekal untuk jangka masa yang lama. Walau bagaimanapun selepas mendapat kuasa, Muhamad sendiri tidak menaiki takhta tetapi melantik seorang pemuda yang berwibawa bernama Abdul Mukmin. Abdul Mukmin dan pewaris-pewarisnya memerintah seluruh empayar Moroco menurut kehendak Muhamad bin Tumart dan Al-Ghazali.
Semasa pemerintahan Abdul Mukmin dan pewaris-pewarisnya, para ulama dipandang tinggi dan semua urusan negara diputuskan dengan merujuk kepada para ulama. Keadilan diberikan kepada yang lemah dan miskin, pegawai-pegawai yang zalim diberi hukuman berat, penjahat diadili sewajarnya, masjid-masjid dibina di istana-istana, pertahanan negara diperkuat dan penaklukan-penaklukan baru dibuat.
Hasil-hasil karya Al-Ghazali yang terulung merupakan asas kepada sebuah gerakan intelektual yang kuat dan sumber inspirasi kepada generasi selanjutnya. Sesungguhnya Abu Hamid Al-Ghazali memberi kesan yang amat mendalam kepada sejarah Islam, sehingga kesannya kepada pemikiran Islam selanjutnya telah diakui oleh pencinta-pencinta dan para pengkritik beliau sendiri. Karya-karyanya masih dipandang tinggi dengan penuh hormat serta dikaji oleh mereka yang mahu pembersihan diri dan perhubungan suci dengan Allah Subahanahu Wata’ala.
KESIMPULAN
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ
Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasullullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat  dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut didalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan didarat dan laut) mendoakan kebaikan keatas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia."( Riwayat al-Tirmizi)
Sungguh banyak manfaat berupa kebaikan serta kebajikan baik dari segi ilmu mahupun akhlak yang mulia diperolehi daripada hasil karya Imam Al-Ghazali dan ternyata beliau adalah merupakan seorang ulama terkemuka yang banyak memberikan panduan dalam segala aspek menurut jalan serta landasan yang ber naskn daripada al-Quran dan al-Hadith. Perjuangan beliau dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang sempurna benar-benar memberi kesan yang mendalam baik kepada para pengkritiknya mahupun umat islam seluruhnya, tidak kira semasa zaman kehidupan beliau sehinggalah pada zaman  ini.
Daripada huraian penulisan yang serba sederhana ini, jelas menunjukkan ciri-ciri yang terdapat dalam diri Imam Al-Ghazali sebagai seorang ulama islam yang tulen dan pemikir islam yang sangat telus menyampaikan jiwa-jiwa keislaman yang luhur kepada umat manusia. Setiap karyanya mencerminkan keindahan islam yang sejati yang diperjelaskan secara terperinci dan menyeluruh. Tidak hairanlah setiap falsafahnya diguna pakai oleh golongan ilmuan baik yang berugama islam mahupun bukan.
Pembaharuan ataupun perbaikan yang dibuatnya sangat relevan walaupun terdapat kritikan serta tentangan, tetapi akhirnya ianya dapat diterima malah mendapat pujian pula, sehinggakan setiap hasil karya beliau kebanyakannya dijadikan panduan baik dalam bidang ilmu, keugamaan, perhubungan sosial dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan